Selamat Datang ke Blog NazriMD-SDM

Pages

Monday, October 11, 2010

Kejohanan Badminton Terbuka SDM

Kejohanan badminton terbuka SDM berlangsung pada 1 hingga 8 oktober 2010 bertempat di Dewan terbuka SDM. Kali ini seramai 18 orang pemain terdiri daripada kakitangan guru dan bukan guru menyertainya. Hanya kategori regu lelaki sahaja yang dipertandingkan secara liga dan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Acara kemuncak ialah separuh akhir dan akhir pada 8 oktober 2010 jam 9.00 malam di samping menikmati BBQ di Dataran Ilmu. Turut hadir pada malam kemuncak tersebut ialah Tuan Pengetua En Abdul Hamid bin Hassan dan Penolong Kanan Pentadbiran Pn Fauziah bt Ahmad Milatu. Keputusan perlawanan ialah Johan dimenangi oleh beregu Ustaz Jaafar Abd Rahman dan En Mokan manakala naib johan ialah pasangan En Helmi dan Tn Hj Jaapar. Tempat ketiga pula ialah pasangan En Zafriadli dan En Noh Samat. Tempat keempat dan seterusnya mendapat hadiah saguhati. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tn pengetua.

Tuesday, July 27, 2010

Persaraan Encik Idris bin Husin

Isnin, 26 Julai - majlis persaraan Encik Idris bin Husin pada hari ini berlangsung pada jam 11.00 pagi bertempat di Dewan Mustaffa. Beliau mula berkhidmat sebagai guru di SMK Kota Klias,Beaufort, Sabah pada tahun 1976 dan kemudian bertukar ke SMK Dato' Mustaffa pada tahun 1981. Pada tahun 1982 pula beliau berpindah ke SMKA Simpang Lima hingga tahun 2004. Akhirnya beliau kembali semula ke SMK Dato' Mustaffa pada tahun 2006 hingga ke hari ini. Tidak dinafikan, Cikgu Idris seorang guru yang berdedikasi dan berkomitmen tinggi dalam sesuatu kerja. Ini terbukti apabila beliau bukan sahaja berjaya dalam kerjaya pendidikan tetapi juga berjaya mengusahakan kolam penternakan ikan di kelas pendidikan khas dan juga di rumah. Selamat bersara cikgu... jasamu tetap dikenang.

Friday, July 16, 2010

Program Bicara

Jumaat, 16 Julai- program bicara merupakan majlis menanda tangani rekod kemajuan pelajar bagi menilai prestasi pelajar dalam peperiksaan pertengahan tahun 2010. Ia melibatkan perbincangan antara pihak penjaga dengan guru berkaitan pencapaian pelajar di sekolah. Program dimulakan dengan pendaftaran penjaga bermula pada pukul 8.00 pagi dan seterusnya mereka masuk ke Dewan Mustaffa untuk mendengar ceramah keibu bapaan. Jam 10.00 pagi ibu bapa akan bergerak ke kelas anak-anak mereka untuk bertemu dengan guru kelas. Selepas itu ibu bapa dibenarkan membawa anak-anak mereka pulang. Adalah diharapkan program bicara ini dapat memperbaiki kemajuan pelajar bukan sahaja dalam akademik tetapi juga disiplin diri.

Monday, July 12, 2010

Sukan Dwitahunan SDM

Ahad, 11 Julai 2010 - SDM sekali lagi mengadakan sukan dwitahunan kali ke -31 betempat di padang SMK Dato' Mustaffa. Sukan kali ini dirasmikan oleh YB Noriah bt Kasnon. Acara dimulakan dengan perbarisan kontinjen-kontinjen rumah sukan yang mengambil bahagian. Disusuli selepas itu pembacaan ikrar sukan tahunan dan acara-acara yang dipertandingkan. Kebanyakan acara pada hari ini adalah acara balapan kerana acara padang telah dijalankan pada hari sebelumnya. Acara kemuncak ialah sukaneka guru dan cabutan bertuah. Majlis penutup dilakukan oleh Tuan Pengetua dan mengisytiharkan esok, Isnin 12 Julai 2010 adalah hari cuti peristiwa sempena sukan pada hari ini. Akhir kata, semoga kejohanan sukan ini dapat mengeratkan silaturrahim antara warga SDM.

Friday, July 2, 2010

Pertukaran Guru atas Arahan

Jumaat 2 Julai- 4 orang guru SDM terlibat dalam arahan pertukaran dalam daerah iaitu En Abdull Razak Abd Shukur ke SMKA Simpang Lima, En. Abdul Halim Darmawan ke SMK Yoke Kuan, En Ahmad Zaki bin Othman ke SMK Sungai Besar dan En Jamaludin bin Sulaiman ke Sekolah Ungku Aziz (SUA). Arahan tersebut berkuatkuasa semalam iaitu pada 1 Julai 2010. Terasa juga akan kehilangan rakan-rakan guru yang sudah sebati dan begitu akrab. Namun pemergian mereka diiringi dengan ucapan semoga 'success' dan jasamu tetap dikenang daripada seluruh warga SDM.

Wednesday, June 16, 2010

NKRA - "School Improvement Programme"(SIP)

Selasa, 15 Jun - Pengetua dan guru data menghadiri bengkel pengisian "School Improvement Toolkit"(SIT) yang diadakan di PKG Sabak Bernam jam 8.30 pagi bagi tujuan NKRA. Setiap sekolah dikehendaki menyiapkan tugasan mengisi SIT selewat-lewatnya pada 27 Jun 2010.Pada 16 Jun pula, ditempat yang sama, Setiausaha Peperiksaan pula akan diberi taklimat dan bengkel mengenai perkara yang sama.Antara lain objektif SIP sepertimana yang dikehendaki oleh KPM ialah melihat sejauhmana keperluan sekolah meliputi bidang akademik, kokurikulum dan hal ehwal murid. KPM juga dapat menganalisis ranking sekolah, kekangan yang dihadapi sekolah dan bagaimana sekolah dapat melonjak kepada kedudukan yang lebih baik.

Friday, June 4, 2010

Pats dan Headcount

Jumaat, 4 Jun 2010 -Hari ini semua guru sibuk menyiapkan dan mengemaskinikan fail Pats dan Headcount sepertimana arahan yang dikeluarkan pada jam 12.30 tengah hari semalam. Fail tersebut bersama buku ringkasan mengajar kena hantar hari ini juga ke pejabat. walaupun peperiksaan pertengahan tahun masih berjalan dan kerja-kerja menanda kertas jawapan pelajar masih belum selesai, namun kesabaran, komitmen, kerjasama dan kesungguhan rakan-rakan guru berjaya juga menyelesaikan tugasan itu dengan jayanya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua guru SDM. Sekalung penghargaan kepada guru-guru yang akhirnya kembali ceria, sungguhpun pada awalnya kelihatan agak gusar. (Guru Pembina Negara Bangsa)

Monday, May 24, 2010

LDP - "School Based" - Bidang Bahasa

22 Mei 2010, Sabtu - Panitia Bahasa Melayu dan Panitia Bahasa Inggeris yang kedua-duanya di bawah bidang bahasa telah mengadakan LDP iaitu kursus penandaan kertas bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris peringkat PMR dan SPM. Lokasi kursus Penandaan kertas Bahasa Melayu di Bilik Gerakan dan Kelas 5J. Manakala kursus Penandaan Kertas Bahasa Inggeris berlokasi di Makmal ICT.Kursus bermula pada jam 8.00 pagi, rehat jam 10.00 dan disambung hingga 12.30 tengah hari.Kursus untuk Panitia Bahasa Melayu diterajui oleh En Abdul Razak bin Mohd Kenar dan Pn Rugayah bt Abdul Hamid. En Abdull Razak Shukur pula sebagai penceramah kursus penandaan mata pelajaran Bahasa Inggeris. Akhir kata, kursus ini banyak memberi manfaat kepada guru-guru di bawah bidang bahasa.

Monday, May 17, 2010

Hari Guru SDM- meriah

Berbekalkan tema hari guru 2010 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, SMK Dato'Mustaffa mengadakan sambutan hari guru peringkat sekolah pada hari ini.
Seawal pagi para guru berbaris dan diarak dengan paluan kompang menuju ke Dewan Mustaffa. Acara dimulai dengan membaca perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Selesai ucapan pengetua, acara diteruskan dengan upacara memotong reben dan kek hari guru.
Selepas itu guru-guru yang telah dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing terpaksa berkerja keras menyelesaikan beberapa tugasan yang telah diarahkan. Acara yang paling menarik ialah memancing ikan keli, menyiang ikan keli, memasak mi kuning dan memasak ikan keli.
Sementara ahli-ahli kumpulan lain menyelesaikan 'word maze' dan pencarian maklumat melalui internet. Acara kemuncak ialah persembahan para guru - deklamasi sajak, sketsa, bercerita, menyanyi lagu pop yeh yeh dan nasyid.
Akhir sekali majlis tahlil dan jamuan di kantin sekolah, disekalikan dengan majlis persaraan kakitangan bukan guru iaitu Pn Naila bt Rashidi.

Sunday, May 16, 2010

Hari Keluarga SDM

Hari Keluarga SDM di Teluk Rubiah Resort meriah sekali. Pada 15 Mei (sabtu) peserta konvoi bertolak tepat jam 11.00 pagi selepas menanti selama 15 minit di tepi jalan berdekatan Sekolah Seri Perkasa, Perak. Seterusnya eksplorace pun bermula di sepanjang perjalanan menuju ke destinasi. Setibanya di sana jam 12 tengah hari terus makan di dewan makan, penyerahan jawapan eksplorace dan 'check in'. Jam 2.00 petang acara sukaneka dijalankan dimulai acara kanak-kanak mengikut peringkat umur dan seterusnya acara untuk ibu bapa. Pelbagai hadiah menarik disediakan termasuklah acara cabutan bertuah.Acara berakhir jam 5.00 petang, kanak-kanak mandi di kolam renang sementara bapa-bapa memukul bola golf. Jam 6.00 petang makan malam dan diikuti BBQ jam 8.00 malam - macam-macam ada(ayam, mentarang, jagung dan sosej). Sambil menikmati BBQ kami disajikan dengan wayang pacak. Majlis berakhir jam 12.00 tengah malam- aktiviti santai seperti bersembang dan memancing ikan.Pada pagi 16 Mei tiada sarapan pagi disediakan. Ada antara peserta yang 'check out' awal dan terus bersarapan di pekan manjung atau membeli belah di teluk batik dan lumut.
Akhirnya syabas diucapkan kepada jawatankuasa pengelola Kelab Guru dan Kakitangan SMKDM atas kejayaan merealisasikan Hari Keluarga ini. Diharapkan program seumpama ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga dan rakan sejawat.

Sunday, May 9, 2010

Friday, May 7, 2010

Peristiwa Semasa SDM

Sekolah akan mengadakan sekolah ganti sempena hari raya aidil fitri pada 8 Mei 2010 (sabtu).Pada 10 Mei 2010 pelajar-pelajar tingkatan 6 bawah 2010 akan mula mendaftar - Selamat datang diucapkan. Kelab guru dan kakitangan akan mengadakan Hari Keluarga pada 15 Mei 2010 di Teluk Rubiah Resort. Sambutan hari guru pula akan diadakan pada 17 Mei 2010. Peperiksaan Pertengahan tahun mula pada 18 Mei 2010 bagi tingkatan 5 . Manakala bagi tingkatan 4 pula akan bermula pada 20 Mei 2010.

Data dan Maklumat

Bilangan guru yang berkhidmat di SMKDM sehingga 7 mei 2010 ialah 107 orang termasuk 2 orang GSTT berada di Pendidikan Khas ( Pn Nurulhuda bt Mahaliddin dan Cik Izzati Syafiqah bt Mansor). Seorang guru dipinjamkan ke PPD (Unit Pendidikan Khas) iaitu En Omar bin Hamsa. Manakala seorang guru lagi melanjutkan pelajaran ke UPSI dalam bidang sarjana iaitu En Azmi bin Sulaiman.

Bilangan bukan guru pula ialah 17 orang iaitu 4 lelaki dan 13 perempuan termasuk seorang perempuan dipinjamkan ke PPD iaitu Pn Norhabibah bt Suhut.(N1)

Seorang Kakitangan bukan guru akan bersara 20 Mei 2010 iaitu Pn Naila bt Rashidi - Selamat bersara.

Thursday, May 6, 2010